Wednesday, 19 December 2012


Pengalaman Belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Pada Januari 2011, saya telah terpilih mewakili pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyertai program pertukaran pelajar ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama satu semester. Pengalaman ini cukup bermakna kepada saya dan memberi pengalaman baru kepada saya di dalam memahami budaya dan cara kehidupan masyarakat di Sabah yang pelbagai bangsa dan agama.
PENGINAPAN
Sepanjang pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), pihak universiti telah menempatkan kami di kolej kediaman yang dinamakan sebagai Kampung E. UMS mempunyai dua penginapan di luar kampus iaitu Indah Permai dan juga Kingfisher. Manakala di dalam kampus pula terdiri daripada Kampung AB, Kampung CD dan juga Kampung E.
Kampung E merupakan penginapan separuh swasta di mana segala urusan mengenai kediaman diuruskan oleh Chase Perdana dan juga HEP (Hal Ehwal Pelajar) UMS. Sepanjang pengajian di UMS, saya telah menetap di Kampung E, di mana saya ditempatkan di Blok A1, bersama dengan pelajar UMS yang lain. Di Kampung E, setiap rumah mempunyai 3 buah bilik dan setiap bilik mempunyai 4 orang pelajar serta ada juga yang disediakan 1 bilik untuk 2 orang pelajar. Di Kampung E, saya telah menginap bersama 3 orang lagi pelajar UMS iaitu daripada semenanjung dan juga daripada Sabah.
Kampung E di antara penginapan yang mempunyai bilangan pelajar yang paling ramai. Maka disebabkan itu, para pelajar selalu menghadapi masalah kekurangan bas untuk ke kelas. Pelajar terpaksa menunggu lebih kurang satu hingga satu setengah jam untuk menaiki bas ke kelas. Hal ini amat menyukarkan kami, kerana kelas jauh daripada Kampung E, dan memustahilkan kami untuk berjalan kaki.
Selain itu, masalah yang agak serius di Kampung E ialah masalah anjing liar yang berkeliaran. Ini kerana, ramai pelajar telah dikejar oleh anjing-anjing liar ini, selain daripada tong sampah yang bertaburan disebabkan haiwan ini. Di harap pihak UMS terutamanya pihak Kampung E dapat menyelesaikan masalah ini sebelum menjadi lebih serius lagi.
FAEDAH
Walaupun banyak halangan yang kami tempuhi sepanjang pengajian di UMS, namun tidak mematahkan semangat kami untuk terus menamatkan program ini dengan jayanya. Saya telah dapat menimba banyak pengalaman sepanjang berada di UMS.
Selain itu, walaupun pihak UMS tidak menyediakan banyak program untuk kami sepanjang berada di UMS, namun hal ini tidak bermakna kami tidak boleh menimba banyak pengalaman.
Program pertama yang kami sertai semasa berada di UMS ialah lawatan ke Kundasang di mana telah dianjurkan di bawah Kelab Usahawan SPE (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi). Saya telah melawat tempat yang menarik di Kundasang seperti melihat pemandangan gunung Kinabalu, hot pouring di kaki gunung Kinabalu, tempat peninggalan dan peringatan perang pada zaman dulu dan lain-lain lagi. Sememangnya negeri Sabah kaya dengan tempat semula jadi yang menarik dan mampu menawan hati bagi sesiapa saja yang berkunjung di sini.
Selain itu, saya amat bersyukur kepada pihak SPE (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi) yang telah menganjurkan program integrasi mahasiswa dan mahasiswi  UUM-UMS di Kudat pada Februari 2011 yang telah dijalankan dengan jayanya. Program ini telah mendedahkan kepada saya bahawa betapa susahnya kehidupan penduduk di luar bandar terutamnya di kawasan pedalaman seperti di Kampung Pengaraban, Kudat. Sepanjang program ini, para peserta program telah dibahagikan dan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Setiap rumah mempunyai 2 orang anak angkat iaitu pelajar UUM dan juga pelajar UMS.
Saya amat bersyukur kerana dapat mengenali keluarga angkat saya di Sabah serta rakan serumah saya daripada UMS juga merupakan penduduk peribumi Sabah. Mereka telah melayan saya dengan baik sekali. Walaupun keluarga angkat saya adalah orang susah, tetapi mereka tetap menyambut kedatangan kami dengan hati yang terbuka. Sepanjang saya tinggal bersama keluarga angkat saya, saya mendapati serta dapat merasai kesusahan yang dihadapi mereka dengan ketiadaan paip air, mesin basuh serta kemudahan lain. Setiap pagi, ayah serta kakak angkat saya akan mengangkut air daripada rumah saudara mereka untuk mandi,  membasuh kain serta untuk kegunaan harian yang lain. Ini telah menyedarkan saya bahawa pendidikan boleh mengubah nasib seseorang untuk berjaya. Saya telah menasihatkan adik-beradik angkat saya supaya jangan berputus asa untuk menuntut ilmu walau susah sekalipun, kerana hasilnya akan kita perolehi kelak jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa.
Di samping itu, sepanjang program ini berlangsung, saya serta para peserta yang lain telah dibawa melawat tempat yang menarik di sekitar Kudat. Kami telah dibawa ke pantai Simpang Mengayau, iaitu laut yang memisahkan antara Laut Sulu dan juga Laut China Selatan. Saya amat terpesona dengan keindahan semula jadi Kudat. Kami juga telah dibawa melawat tempat membuat gong, rumah panjang serta tidak melepaskan peluang berjalan di Pasar Tamu. Pelbagai jenis makanan serta barangan tradisional Sabah yang saya tidak pernah jumpa di Semanjung, tetapi dapat saya lihat dan nikmati di sini.
Selain itu, sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh pihak SPE, UMS antara peserta bersama dengan keluarga angkat serta penduduk Kampung Pengaraban yang lain. Antaranya ialah, gotong royong membersihkan masjid, pertandingan menyanyi bersama keluarga angkat, pemeriksaan serta ceramah kesihatan oleh pelajar perubatan UMS kepada penduduk kampung serta banyak lagi. Hal ini pasti telah dapat mengeratkan hubungan antara para peserta bersama masyarakat serta menimba pengalaman dan mengenali budaya serta kehidupan masyarakat peribumi Sabah. Pengalaman ini adalah amat berguna kepada saya serta para peserta yang lain, di mana kami merupakan bakal pelapis pemimpin pada masa akan datang yang akan menerajui negara kelak.
Pihak UMS serta wakil Adun juga telah memberikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pengaraban terutamanya kepada keluarga angkat. Saya juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan membeli barang- barang keperluan harian untuk keluarga angkat saya sebelum saya berangkat pulang ke UMS. Di harap sumbangan yang diberikan dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda serta penduduk Kampung Pengaraban agar menuntut ilmu dan tidak mudah berputus asa kerana dengan cara ini dapat mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Aktiviti yang ketiga yang telah saya sertai di sini ialah menghadiri Pesta Ang Paw yang telah dianjurkan oleh pelajar UMS sempena Tahun Baru Cina. Pesta ini telah diadakan di dewan rasmi UMS iaitu di dewan canselor. Pelbagai pertunjukan menarik yang telah diadakan, serta maklumat mengenai sejarah mengenai Tahun Baru Cina.
Selain itu, saya serta para pelajar pertukaran yang lain telah mengambil inisiatif sendiri untuk membuat lawatan ke tempat menarik di Sabah. Kami telah membuat aktiviti snorkelling di 3 buah pulau menarik di Sabah iaitu Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan juga Pulau Manukan. Sememangnya, aktiviti ini sungguh menyeronokkan dan memberikan  kenangan yang indah buat kami semua.
Seterusnya, saya dan beberapa rakan saya yang lain juga telah mengunjungi UMSKAL (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan). Walaupun kunjungan saya serta rakan yang lain adalah tidak rasmi, tetapi kami telah disambut dengan mesra oleh MPP UMSKAL serta pengerusi JAKMAS. Kami telah menginap di bilik tamu di Kolej Kediaman Beta. Kami sekali lagi telah mengambil inisiatif sendiri melawat ke UMSKAL dengan membuat lawatan tidak rasmi kerana sebenarnya pihak SPE telah membuat perancangan untuk membawa kami melawat UMSKAL tetapi telah dibatalkan pada saat-saat akhir. Namun hal ini tidak mematahkan semangat kami untuk berkunjung sendiri ke Labuan yang mengambil masa lebih kurang 4 jam daripada pelabuhan Jesselton Kota Kinabalu.
 Di Labuan, saya telah melawat tempat menarik di sana seperti Pantai Layang-Layang, Rumah Kampung Air Patau-Patau, Muzium Chimni, dan lain-lain lagi. Saya juga tidak melepaskan peluang membeli coklat di sana memandangkan Labuan (kawasan bebas cukai) merupakan syurga membeli coklat serta minyak wangi jenama antarabangsa dengan harga yang murah. Tambahan lagi, saya juga tidak melepaskan peluang melihat persembahan sempena Pesta Keamatan yang telah dianjurkan oleh para pelajar UMSKAL. Saya dapat mempelajari serta mengetahui adat resam serta budaya pelbagai kaum penduduk peribumi Sabah dan juga Sarawak.
Aktiviti seterusnya ialah, saya serta beberapa rakan yang lain telah menyertai majlis makan malam yang telah dianjurkan oleh Kampung E yang telah berlangsung di Hotel Grand Borneo. Tema majlis makan malam ini ialah Kesultanan Melayu Melaka. Pelbagai persembahan menarik telah diadakan serta kami telah didedahkan dengan sejarah kegemilangan Empayar Melaka pada suatu ketika dahulu
Di samping itu, saya serta rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat yang menarik di dalam kampus UMS sendiri yang suatu ketika dulu pernah mendapat anugerah sebagai universiti tercantik di Asia Tenggara. Saya telah melawat akuarium UMS di Sekolah Marin yang dikenali sebagai ODEC. Di ODEC saya dapat melihat pelbagai hidupan air seperti penyu, ikan, kuda laut, rangka ikan paus dan banyak lagi. Di ODEC juga mempunyai saluran maklumat mengenai hidupan laut serta ancaman yang di hadapi pada era globalisasi ini. Tambahan lagi, kami juga telah mendaki bukit tertinggi di UMS iaitu UMS Peak. Sememangnya pemandangan dari UMS Peak adalah sangat cantik dan rasa penat mendaki hilang selepas melihat pemandangan yang amat mempesonakan ini.
Kami juga telah melawat perpustakaan UMS di bahagian Koleksi Perdana, Koleksi Nobel Laurette dan Koleksi ASEANA + 3 di mana bilik-bilik ini adalah sangat cantik serta menjadi mercu kebanggaan UMS bagi sesiapa yang mengunjunginya. Dekorasi yang eksklusif yang telah menelan belanja dalam RM1.5juta pasti menarik hati para pelawat untuk mengunjungi tempat ini. Saya serta rakan-rakan yang lain juga telah melawat galeri UMS yang terletak di bangunan Canselori. Di dalam galeri ini, pelbagia informasi mengenai Sekolah-sekolah yang ada di dalam UMS serta pencapaian yang telah dicapai oleh UMS. 
 Selain itu, sepanjang berada di Sabah, saya telah pergi melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar Kota Kinabalu seperti Pantai Tanjung Aru, Kompleks Kraf Tangan, Pasar Malam Sinsuran, dan Pasar Kampung Air. Di sini, dikenali sebagai tempat syurga membeli-belah bagi mutiara kerana sememangnya Sabah terkenal dengan keaslian mutiara yang boleh diperolehidengan  harga yang berpatutan. Saya juga dapat mempelajari serta merasai suasana kehidupan masyarakat di Sabah, makanan mereka, cara percakapan serta banyak lagi. Kami juga telah melawat Zoo Lok Kawi dan juga Taman Perdana yang mempunyai keunikan tersendiri. Di zoo ini, pelbagai spesis hidupan flora dan fauna dapat kami temui dan ketahui. Kami juga tidak melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan Orang Utan, ular, dan burung yang telah dikendalikan oleh pekerja zoo yang bertauliah. Sebelum kami pulang ke semenanjung, kami telah melawat Taman Perdana, di mana tempat rekreasi ini sangat cantik dan terkenal di kalangan penduduk Kota Kinabalu kerana mempunyai pertunjukan air pancut berirama, pastinya mampu memukau penonton yang hadir. Kami juga telah pergi melawat pesta Keamatan yang telah diadakan di bandar Kota Kinabalu. Di sini, saya dapat menyaksikan pertunjukan serta persembahan yang menarik serta berpeluang menimba pengalaman mengenai keunikan kaum-kaum yang ada di Sabah.
 ELAUN
Pada pendapat saya, elaun yang diberikan adalah tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup di Sabah yang agak tinggi berbanding di Semanjung Malaysia. Di harap, pihak UUM dapat menambah elaun tambahan seperti elaun untuk mendaki Gunung Kinabalu kerana kos untuk mendaki serta kelengkapan yang lain adalah agak mahal. Kami tidak berpeluang untuk mendaki Gunung Kinabalu kerana jadual pendakian yang telah habis ditempah oleh pengunjung. Di harap, pelajar pertukaran yang akan datang, berpeluang mendaki Gunung Kinabalu, serta dapat menimba pengalaman yang menarik seperti kami juga.
Sememangnya pengalaman di Sabah sangat mengujakan!!!