Pengalaman
Belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Pada Januari 2011, saya telah terpilih mewakili
pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyertai program pertukaran
pelajar ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama satu semester. Pengalaman ini
cukup bermakna kepada saya dan memberi pengalaman baru kepada saya di dalam
memahami budaya dan cara kehidupan masyarakat di Sabah yang pelbagai bangsa dan
agama.
PENGINAPAN
Sepanjang pengajian di Universiti
Malaysia Sabah (UMS), pihak universiti telah menempatkan kami di kolej kediaman
yang dinamakan sebagai Kampung E. UMS mempunyai dua penginapan di luar kampus
iaitu Indah Permai dan juga Kingfisher. Manakala di dalam kampus pula terdiri
daripada Kampung AB, Kampung CD dan juga Kampung E.
Kampung E merupakan penginapan
separuh swasta di mana segala urusan mengenai kediaman diuruskan oleh Chase
Perdana dan juga HEP (Hal Ehwal Pelajar) UMS. Sepanjang pengajian di UMS, saya
telah menetap di Kampung E, di mana saya ditempatkan di Blok A1, bersama dengan
pelajar UMS yang lain. Di Kampung E, setiap rumah mempunyai 3 buah bilik dan
setiap bilik mempunyai 4 orang pelajar serta ada juga yang disediakan 1 bilik
untuk 2 orang pelajar. Di Kampung E, saya telah menginap bersama 3 orang lagi
pelajar UMS iaitu daripada semenanjung dan juga daripada Sabah.
Kampung E di antara penginapan yang
mempunyai bilangan pelajar yang paling ramai. Maka disebabkan itu, para pelajar
selalu menghadapi masalah kekurangan bas untuk ke kelas. Pelajar terpaksa
menunggu lebih kurang satu hingga satu setengah jam untuk menaiki bas ke kelas.
Hal ini amat menyukarkan kami, kerana kelas jauh daripada Kampung E, dan
memustahilkan kami untuk berjalan kaki.
Selain itu, masalah yang agak
serius di Kampung E ialah masalah anjing liar yang berkeliaran. Ini kerana,
ramai pelajar telah dikejar oleh anjing-anjing liar ini, selain daripada tong
sampah yang bertaburan disebabkan haiwan ini. Di harap pihak UMS terutamanya
pihak Kampung E dapat menyelesaikan masalah ini sebelum menjadi lebih serius
lagi.
FAEDAH
Walaupun banyak halangan yang kami
tempuhi sepanjang pengajian di UMS, namun tidak mematahkan semangat kami untuk
terus menamatkan program ini dengan jayanya. Saya telah dapat menimba banyak
pengalaman sepanjang berada di UMS.
Selain itu, walaupun pihak UMS
tidak menyediakan banyak program untuk kami sepanjang berada di UMS, namun hal
ini tidak bermakna kami tidak boleh menimba banyak pengalaman.
Program pertama yang kami sertai
semasa berada di UMS ialah lawatan ke Kundasang di mana telah dianjurkan di
bawah Kelab Usahawan SPE (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi). Saya telah melawat
tempat yang menarik di Kundasang seperti melihat pemandangan gunung Kinabalu,
hot pouring di kaki gunung Kinabalu, tempat peninggalan dan peringatan perang
pada zaman dulu dan lain-lain lagi. Sememangnya negeri Sabah kaya dengan tempat
semula jadi yang menarik dan mampu menawan hati bagi sesiapa saja yang
berkunjung di sini.
Selain itu, saya amat bersyukur
kepada pihak SPE (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi) yang telah menganjurkan
program integrasi mahasiswa dan mahasiswi
UUM-UMS di Kudat pada Februari 2011 yang telah dijalankan dengan
jayanya. Program ini telah mendedahkan kepada saya bahawa betapa susahnya
kehidupan penduduk di luar bandar terutamnya di kawasan pedalaman seperti di
Kampung Pengaraban, Kudat. Sepanjang program ini, para peserta program telah
dibahagikan dan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Setiap rumah
mempunyai 2 orang anak angkat iaitu pelajar UUM dan juga pelajar UMS.
Saya amat bersyukur kerana dapat
mengenali keluarga angkat saya di Sabah serta rakan serumah saya daripada UMS
juga merupakan penduduk peribumi Sabah. Mereka telah melayan saya dengan baik
sekali. Walaupun keluarga angkat saya adalah orang susah, tetapi mereka tetap
menyambut kedatangan kami dengan hati yang terbuka. Sepanjang saya tinggal
bersama keluarga angkat saya, saya mendapati serta dapat merasai kesusahan yang
dihadapi mereka dengan ketiadaan paip air, mesin basuh serta kemudahan lain.
Setiap pagi, ayah serta kakak angkat saya akan mengangkut air daripada rumah
saudara mereka untuk mandi, membasuh
kain serta untuk kegunaan harian yang lain. Ini telah menyedarkan saya bahawa
pendidikan boleh mengubah nasib seseorang untuk berjaya. Saya telah
menasihatkan adik-beradik angkat saya supaya jangan berputus asa untuk menuntut
ilmu walau susah sekalipun, kerana hasilnya akan kita perolehi kelak jika kita
berusaha bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa.
Di samping itu, sepanjang program
ini berlangsung, saya serta para peserta yang lain telah dibawa melawat tempat
yang menarik di sekitar Kudat. Kami telah dibawa ke pantai Simpang Mengayau,
iaitu laut yang memisahkan antara Laut Sulu dan juga Laut China Selatan. Saya
amat terpesona dengan keindahan semula jadi Kudat. Kami juga telah dibawa
melawat tempat membuat gong, rumah panjang serta tidak melepaskan peluang
berjalan di Pasar Tamu. Pelbagai jenis makanan serta barangan tradisional Sabah
yang saya tidak pernah jumpa di Semanjung, tetapi dapat saya lihat dan nikmati
di sini.
Selain itu, sepanjang program ini
berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh pihak SPE, UMS antara
peserta bersama dengan keluarga angkat serta penduduk Kampung Pengaraban yang
lain. Antaranya ialah, gotong royong membersihkan masjid, pertandingan menyanyi
bersama keluarga angkat, pemeriksaan serta ceramah kesihatan oleh pelajar
perubatan UMS kepada penduduk kampung serta banyak lagi. Hal ini pasti telah
dapat mengeratkan hubungan antara para peserta bersama masyarakat serta menimba
pengalaman dan mengenali budaya serta kehidupan masyarakat peribumi Sabah.
Pengalaman ini adalah amat berguna kepada saya serta para peserta yang lain, di
mana kami merupakan bakal pelapis pemimpin pada masa akan datang yang akan
menerajui negara kelak.
Pihak UMS serta wakil Adun juga
telah memberikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pengaraban terutamanya
kepada keluarga angkat. Saya juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan
membeli barang- barang keperluan harian untuk keluarga angkat saya sebelum saya
berangkat pulang ke UMS. Di harap sumbangan yang diberikan dapat menjadi
pemangkin kepada generasi muda serta penduduk Kampung Pengaraban agar menuntut
ilmu dan tidak mudah berputus asa kerana dengan cara ini dapat mengubah
kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Aktiviti yang ketiga yang telah
saya sertai di sini ialah menghadiri Pesta Ang Paw yang telah dianjurkan oleh
pelajar UMS sempena Tahun Baru Cina. Pesta ini telah diadakan di dewan rasmi
UMS iaitu di dewan canselor. Pelbagai pertunjukan menarik yang telah diadakan,
serta maklumat mengenai sejarah mengenai Tahun Baru Cina.
Selain itu, saya serta para pelajar
pertukaran yang lain telah mengambil inisiatif sendiri untuk membuat lawatan ke
tempat menarik di Sabah. Kami telah membuat aktiviti snorkelling di 3 buah
pulau menarik di Sabah iaitu Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan juga Pulau Manukan.
Sememangnya, aktiviti ini sungguh menyeronokkan dan memberikan kenangan yang indah buat kami semua.
Seterusnya, saya dan beberapa rakan
saya yang lain juga telah mengunjungi UMSKAL (Universiti Malaysia Sabah Kampus
Antarabangsa Labuan). Walaupun kunjungan saya serta rakan yang lain adalah
tidak rasmi, tetapi kami telah disambut dengan mesra oleh MPP UMSKAL serta
pengerusi JAKMAS. Kami telah menginap di bilik tamu di Kolej Kediaman Beta.
Kami sekali lagi telah mengambil inisiatif sendiri melawat ke UMSKAL dengan
membuat lawatan tidak rasmi kerana sebenarnya pihak SPE telah membuat
perancangan untuk membawa kami melawat UMSKAL tetapi telah dibatalkan pada
saat-saat akhir. Namun hal ini tidak mematahkan semangat kami untuk berkunjung
sendiri ke Labuan yang mengambil masa lebih kurang 4 jam daripada pelabuhan
Jesselton Kota Kinabalu.
Di Labuan, saya telah melawat tempat menarik
di sana seperti Pantai Layang-Layang, Rumah Kampung Air Patau-Patau, Muzium
Chimni, dan lain-lain lagi. Saya juga tidak melepaskan peluang membeli coklat
di sana memandangkan Labuan (kawasan bebas cukai) merupakan syurga membeli
coklat serta minyak wangi jenama antarabangsa dengan harga yang murah. Tambahan
lagi, saya juga tidak melepaskan peluang melihat persembahan sempena Pesta
Keamatan yang telah dianjurkan oleh para pelajar UMSKAL. Saya dapat mempelajari
serta mengetahui adat resam serta budaya pelbagai kaum penduduk peribumi Sabah
dan juga Sarawak.
Aktiviti seterusnya ialah, saya serta beberapa
rakan yang lain telah menyertai majlis makan malam yang telah dianjurkan oleh
Kampung E yang telah berlangsung di Hotel Grand Borneo. Tema majlis makan malam
ini ialah Kesultanan Melayu Melaka. Pelbagai persembahan menarik telah diadakan
serta kami telah didedahkan dengan sejarah kegemilangan Empayar Melaka pada
suatu ketika dahulu
Di samping itu, saya serta
rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat yang
menarik di dalam kampus UMS sendiri yang suatu ketika dulu pernah mendapat
anugerah sebagai universiti tercantik di Asia Tenggara. Saya telah melawat
akuarium UMS di Sekolah Marin yang dikenali sebagai ODEC. Di ODEC saya dapat
melihat pelbagai hidupan air seperti penyu, ikan, kuda laut, rangka ikan paus
dan banyak lagi. Di ODEC juga mempunyai saluran maklumat mengenai hidupan laut
serta ancaman yang di hadapi pada era globalisasi ini. Tambahan lagi, kami juga
telah mendaki bukit tertinggi di UMS iaitu UMS Peak. Sememangnya pemandangan
dari UMS Peak adalah sangat cantik dan rasa penat mendaki hilang selepas
melihat pemandangan yang amat mempesonakan ini.
Kami juga telah melawat perpustakaan UMS di bahagian
Koleksi Perdana, Koleksi Nobel Laurette dan Koleksi ASEANA + 3 di mana
bilik-bilik ini adalah sangat cantik serta menjadi mercu kebanggaan UMS bagi
sesiapa yang mengunjunginya. Dekorasi yang eksklusif yang telah menelan belanja
dalam RM1.5juta pasti menarik hati para pelawat untuk mengunjungi tempat ini.
Saya serta rakan-rakan yang lain juga telah melawat galeri UMS yang terletak di
bangunan Canselori. Di dalam galeri ini, pelbagia informasi mengenai
Sekolah-sekolah yang ada di dalam UMS serta pencapaian yang telah dicapai oleh
UMS.
ELAUN
Pada pendapat saya, elaun yang
diberikan adalah tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup di Sabah yang agak
tinggi berbanding di Semanjung Malaysia. Di harap, pihak UUM dapat menambah
elaun tambahan seperti elaun untuk mendaki Gunung Kinabalu kerana kos untuk
mendaki serta kelengkapan yang lain adalah agak mahal. Kami tidak berpeluang
untuk mendaki Gunung Kinabalu kerana jadual pendakian yang telah habis ditempah
oleh pengunjung. Di harap, pelajar pertukaran yang akan datang, berpeluang
mendaki Gunung Kinabalu, serta dapat menimba pengalaman yang menarik seperti
kami juga.
Sememangnya
pengalaman di Sabah sangat mengujakan!!!